Bot rosak, nelayan tempatan dikhuatiri hilang

80
Maritim mengerakkan misi mencari dan menyelamat selepas seorang nelayan tidak pulang sejak petang semalam.

LANGKAWI, 20 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan berkenaan tekong bot nelayan yang keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan dan tidak pulang sejak petang semalam. 

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi  Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan mengatur gerak bot PERKASA 1228 dan bot PERKASA 1224.

Sejurus menerima maklumat daripada anak mangsa, Rokie bin Zaizali,misi digerakkan bagi mencari nelayan terbabit yang tidak pulang selepas keluar ke laut pada jam sekitar 4.30 petang dan dipercayai bot yang dinaiki beliau mengalami kerosakan. 

Mangsa yang hilang dikenalpasti sebagai Zaizali bin Harun, 61, dan usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan selain dibantu  agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), serta beberapa bot nelayan tempatan.

Maritim Malaysia khususnya Ibu Pejabat Maritim Negeri kedah dan Perlis mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.