Saturday, 20, April, 2024
Utama Sukan Arif Aiman pertahan kemenangan MVP di ABK22

Arif Aiman pertahan kemenangan MVP di ABK22

oleh Ammar Haziq

Buat musim kedua berturut-turut, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd. Hanapi, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Bintang muda berusia 20 tahun ini berjaya mempertahankan gelaran dimenangi musim lalu selepas persembahan cemerlang dan konsisten sepanjang musim bersama JDT.

Beliau menjadi antara tunjang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Arif menerima Anugerah MVP selepas diumumkan oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan.

Selain memenangi MVP, beliau turut mempertahankan dua lagi gelaran iaitu Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Menurut Arif, yang berjaya meledak 8 gol dan 16 bantuan jaringan, beliau mahu memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya bagi beraksi cemerlang sepanjang musim ini.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Johor yang sentiasa memberikan peluang berharga kepada pemain-pemain muda seperti saya.

Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai- pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami dan alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik, Insya Allah tahun depan, saya akan jadi lebih terbaik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.

Arif turut berjaya mengetepikan cabaran sengit Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) dan Darren Lok (PJ City FC) bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik dan bagi Anugerah Pemain Muda Terbaik, Arif mengetepikan cabaran Azam Azmi Murad (Terengganu FC) serta Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com