Usahawan hartanah terima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang

75
Azlan (kiri) antara yang tersenarai menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang dan pengurniaan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, di Istana Abu Bakar pada 8 Disember lalu.

Usahawan Hartanah terkenal,Azlan Al Amin tersenarai antara 162 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang, sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau menerima pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’.

Azlan Al Amin atau nama sebenarnya Mohamad Azlan Abdullah @ Ali mengzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas pengurniaan tersebut yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, di Istana Abu Bakar pada 8 Disember lalu.

Al-Sultan Abdullah yang juga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan.

Azlan semasa ditemui berkata, beliau menghargai kurniaan darjah kebesaran tersebut dan akan menggalas setiap tanggungjawab yang datang bersama.

Menurutnya, kejayaan pada hari ini tidak bererti beliau telah melupakan kisah silamnya yang hidup dalam serba kedaifan satu masa dahulu.

Kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.

Menceritakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar, Azlan berkata pernah suatu ketika beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan sebagai Pengutip Sampah selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2007, selepas tamat Tingkatan 6.

Dato Azlan Al Amin

Keputusan untuk tinggalkan rumah dan pertemuan dengan bekas cikgu sekolahnya telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah.

Untuk pertama kali dalam hidupnya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan mendapat komisen sebanyak RM4,000.Siapa percaya, dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau berjaya meraih pendapatan lebih RM500,000.

Azlan kini banyak berbakti kepada masyarakat termasuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir besar yang melanda negara pada penghujung tahun 2021 dan awal 2022.