Jumlah undi tinggi kepada PN bukti rakyat yakini kerajaan negeri Kedah

70

ALOR SETAR 20 Nov. – Jumlah undi tinggi diperolehi calon-calon Perikatan Nasional (PN) mengesahkan keyakinan sangat tinggi rakyat Kedah terhadap kerajaan negeri, yang sedang melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kejayaan itu turut membuktikan bahawa kerajaan negeri kini berada di landasan yang betul, selari dengan kehendak rakyat Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

“Rakyat juga mahukan kerajaan Pusat yang seiring dan sehaluan dengan kerajaan negeri dan diterjemahkan melalui keputusan dibuat di peti-peti undi.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas pilihanraya dari Perikatan Nasional yang telah telah bekerja keras sehingga akhirnya kita memperolehi kemenangan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, majoriti rakyat Kedah telah membuat pilihan untuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,

“Semoga Kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat Pusat, dapat merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengajak semua pihak agar menzahirkan kesyukuran terhadap Allah di atas anugerah kemenangan tersebut.

“Terima kasih juga kepada para pemilih yang telah mengundi PN. Tidak dilupakan juga anak-anak Kedah di perantauan yang berkorban untuk pulang mengundi PN.

“Saya rakamkam setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang terpilih. Dalam masa sama, saya berharap seluruh rakyat Kedah terus bersatu padu menjalani kehidupan yang harmoni,” katanya.