Berpantang maut sebelum ajal, suami isteri selamat kereta dihempap pokok tumbang

192

KULIM, 13 Nov. – Sepasang suami isteri tersepit dalam kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka apabila sebatang pokok sebesar pemeluk tumbang dan menghempap kenderaan tersebut di Jalan Terap, Sungai Tengas dekat sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Faiz Helmi pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Ahmad Termizi Hashim, 51, dan isterinya, Rofizah Yusof, 58, kira-kira jam 8.22 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok sebesar sepemeluk tumbang melintang jalan dan meghempap kereta dinaiki pasangan terbabit.

“Kalangan pegawai dan anggota terlibat terlebih dulu menstabilkan kecederaan dialami mangsa akibat pendarahan di tangan sambil berusaha mengeluarkan mereka dengan menggusakan perlatan khas seperti gergaji berantai, spreader hydraulic dan cutter,” katanya.

Difahamkan mangsa wanita tersebut patah tangan akibat kejadian tersebut.

Mohd Faiz menambah, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan awal di tempat kejadian.

“Kedua-dua mereka lal dibawa ke Hospital Kulim menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan operasi ditamatkan kira-kira jam 9.30,” katanya.