Empat nelayan ditahan cuba seludup 6,000 liter minyak diesel

41
Maritim menemukan dua kotak minyak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

LANGKAWI, 12 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama empat lelaki tempatan selepas dipercayai cuba menyeludup 6000 liter minyak diesel di kedudukan 6 batu nautika barat Tanjung Chincin pada jam 11.50 malam, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah Dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot tersebut, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

“Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak minyak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

“Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan kasar tambahan sebanyak 6000 liter dengan nilai hampir RM13 ribu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keempat-empat lelaki itu yang berumur lingkungan 19 – 59 tahun, ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, keempat-empat lelaki itu yang berumur lingkungan 19 – 59 tahun, ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Pihak Maritim Malaysia Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.