Friday, 26, April, 2024
Utama Sukan Korea Selatan manfaat kepakaran Subkhiddin mantapkan sistem pengadilan

Korea Selatan manfaat kepakaran Subkhiddin mantapkan sistem pengadilan

oleh admin

ALOR SETAR, 1 Nov. – Diam tak diam, kepakaran pengadil bola sepak terkemuka tanah air, Subkhiddin Mohd. Salleh rupa-rupanya lebih setahun ditagih Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) selaku Ketua Instruktor dan Penasihat Pembangunan Pengadil di negara gergasi bola sepak Asia itu.

Subkhiddin ketika ditemubual oleh sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini.

Begitu pun menurut anak kelahiran Pulau Pinang itu, tugasnya selaku tenaga pengajar teknikal bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih juga diteruskan atas persefahaman bersama antara dirinya dan KFA.

Katanya, beliau memulakan tugas dengan badan induk bola sepak Korea Selatan itu sejak April 2021 setelah dilamar oleh Naib Presiden KFA, Profesor Eunah Hong yang merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut.

“Sebelum ini saya banyak bekerjasama dengan KFA dalam memberikan bantuan teknikal secara tidak rasmi untuk sebahagian rakan-rakan instruktor dan pengadil di Korea Selatan. Tiba-tiba pada 2021, KFA menawarkan saya jawatan itu dan mempelawa untuk tinggal di negara tersebut.

Subkhiddin sejak sekian lama telah menjadi instruktor kepada pengadil dari seluruh dunia termasuk mereka yang bakal mengadili perlawanan dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Selepas beberapa siri perbincangan, kami akhirnya bersetuju untuk menandatangani kontrak untuk saya memulakan tugas pada April 2021. Buat masa ini mereka memahami kesibukan saya bersama FIFA dan AFC, jadi saya masih boleh menyediakan semua perancangan kerja untuk pengadil, tenaga pengajar dan jawatankuasa pengadilan secara dalam talian.

“Begitu pun ada masanya saya perlu juga turun padang mengikut tugasan tertentu. KFA setakat ini tidak menghalang sebarang tugasan saya bersama FIFA mahu pun AFC malah mereka memberikan sokongan yang amat menakjubkan,” katanya kepada Kedah Gazette.

Mengulas mengenai skop tugasnya di negara K-Pop itu, Subkhiddin berkata, antara perkara yang perlu dilaksanakannya adalah merancang, melaksana serta menilai kursus-kursus mahu pun seminar pengadil terutamanya untuk liga utama negara itu, K-League.

Pengalaman dimiliki Subkhiddin dalam arena bola sepak antarabangsa cukup untuk mendatangkan rasa hormat pihak luar kepada anak jati Pulau Pinang itu.

“Saya juga perlu memberi nasihat mengenai pembangunan dan pendidikan pengadil, polisi pembangunan akar umbi pengadil, serta perlu memberikan pandangan terhadap isu-isu berbangkit berkaitan pengadilan bola sepak di negara itu.

“Sejak 2021, banyak tugas dilaksanakan secara dalam talian berikutan kekangan pandemik covid-19 dan hanya pada tahun ini, barulah saya dapat ke sana. Sepanjang di sana, saya menyasarkan perbincangan dalam kumpulan kecil agar kekuatan dan kelemahan dapat dikenal pasti secara lebih menyeluruh dan penyelesaiannya dapat diberi secara lebih jelas,” katanya.

Dalam pada itu Subkhiddin mengakui beliau amat gembira dengan komitmen diberikan KFA serta jabatan pengadil badan induk itu dalam membantunya melaksanakan tugas.

“Setiap minggu kami pastikan keperluan untuk bersemuka secara dalam talian dan mengenal pasti penyelesaian sesuai untuk menambah baik kualiti pengadil, instruktor serta keperluan-keperluan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com