Friday, 26, April, 2024
Utama Politik Johari Abdul ganti Phahrolrazi sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah

Johari Abdul ganti Phahrolrazi sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah

oleh admin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul dipilih sebulat suara sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi menggantikan ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang dipecat keahliannya dari Parti Amanah Negara (Amanah) semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul

Menurut Johari, keputusan untuk mengangkatnya sebagai ke jawatan itu dibuat dalam satu mesyuarat dihadiri kalangan ADUN pembangkang, selepas berakhir sesi pagi sidang DUN hari ini.

“Kalangan ADUN pembangkang sebulat suara memberi peluang kepada saya untuk menjadi Ketua Pembangknag menggantikan Phahrolrazi.

“Jadi Insya Allah saya akan buat yang terbaik bagi memastikan perjalanan DUN menjadi seperti diharapkan agak kami menjadi pembangkang yang konstruktif, serta menyumbang yang terbaik untuk negeri ini,” katanya.

Amanah Kedah dikatakan mengalami pergolakan apabila sebahagian pimpinan utama di negeri ini tidak berpuas hati dengan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keadaan itu membawa kepada pemecatan Phahrolrazi yang juga Pengerusi Amanah Kedah kerana didapati melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti serta melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

Mengulas lanjut Johari berkata, seluruh ADUN pembangkang mengucapkan terima kasih kepada Phahrolrazi di atas sumbangan diberikan sebagai ketua pembangkang sebelum ini.

“Banyak jasa diberikan malah pandangan dan idea bernas telah disuarakan Phahrolrazi di DUN Kedah.

“Kami akan terus menyambung hasrat beliau untuk pastikan bahawa peranan sepatutnya dimainkan pembangkang, diteruskan selepas ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, keputusan blok pembangkang itu akan dimaklumkan kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat secepat mungkin bagi memenuhi prosedur yang perlu dilaksanakan di DUN.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com