Saturday, 20, April, 2024
Utama Politik Pemimpin yang berpindah randah dalam pilihanraya bukan fikir berkhidmat untuk rakyat

Pemimpin yang berpindah randah dalam pilihanraya bukan fikir berkhidmat untuk rakyat

oleh admin

KUALA NERANG, 29 Okt – Pemimpin yang berpindah-randah sebagai calon Pilihan Raya (PRU) hanya mahu mengukuhkan parti semata-mata dan bukannya niat berkhidmat kepada rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bertanding pada PRU dalam sebuah negara demokrasi adalah berkaitan berkhidmat kepada rakyat.

“Jadi bagaimana mereka nak pedulikan pembangunan kepada rakyat termasuk prasarana, pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi di sesuatu tempat.

Pilihan raya ini bukan cerita syok-syok, cerita pilihan raya dalam sebuah negara yang demokrasi adalah memilih pemimpin, keduanya pemimpin itu mesti berkhidmat untuk rakyat.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini, hari ini.

Tambah Mahdzir, budaya pemimpin berpindah-randah pada PRU hanya akan memberikan kesan yang tidak baik kepada rakyat kerana mereka sudah pasti akan jarang berada di kawasan yang dimenangi.

“Kalau misalnya dia bertanding Parlimen di jarak 200 kilometer berbanding ketika dia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu, sebenarnya itu lebih kepada melihat bagaimana nak membina sesebuah parti sahaja,” katanya.

Selain Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertukar kerusi Parlimen dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Tambun, Perak.

Manakala bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut berpindah dari Hang Tuah Jaya, Melaka ke Bagan Datuk, Perak.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata budaya itu tidak dipraktikkan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkhidmat di sesuatu kawasan sehingga mereka bersara.

“Kita (BN) nak bagi perkhidmatan kepada orang ramai, orang itu (pemimpin) pun tak ada masalah nak jumpa sebab dia ada di situ, walaupun bertanding Parlimen dan perlu selalu ke Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya hujung minggu dia balik ke kawasan.

Rakyat nak cakap sikit sahaja hal mereka, pada mereka mungkin (permintaan) kecil, tapi kepada rakyat itu benda yang besar, contohnya minta buat jalan 300 meter sahaja tetapi untuk penduduk ia amat penting,” katanya.

Justeru, Mahdzir secara peribadi berpandangan politik berpindah randah adalah satu perkara yang tidak baik dan digelar nomad politik oleh ahli akademik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com