Friday, 26, April, 2024
Utama Nasional Bekas Ketua Pengarang gesa pembayaran VSS bekas kakitangan UMMB dibayar segera

Bekas Ketua Pengarang gesa pembayaran VSS bekas kakitangan UMMB dibayar segera

oleh admin

KUALA LUMPUR, 28 Okt. – Seramai 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam skim pemisahan sukarela (VSS) perlu mendapat bayaran segera susulan keputusan ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.

Bekas Ketua Pengarangnya, Tan Sri Johan Jaafar berkata, beliau yang turut pernah memegang jawatan sebagai salah seorang Lembaga Pengarah UMMB antara 1992 hingga 1998 amat mengalu-alukan keputusan mahkamah itu.

Tan Sri Johan Jaafar

“Saya menggesa pihak pelikuidasi yang diberikan amanah, memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin.

“Sebelum ini pun, para pekerja tersebut telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik UMMB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka bukan pemiutan UMMB.

Oleh yang demikian, kalangan pekerja yang terlibat dengan VSS itu tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak menerima manfaat daripada harta-harta yang dilabelkan sebagai amanah.

Dalam penghakiman beliau, Nadzarin turut mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak-anak syarikat UMMB termasuk Utusan Publications dan Distributor Sdn. Bhd., U-Print Sdn. Bhd., Utusan Land Sdn. Bhd., Juasa Holdings Sdn. Bhd. dan Mediamony Sdn. Bhd. adalah harta amanah.

Dalam masa sama, Johan berkata, beliau juga berharap ratusan lagi pekerja UMMB yang tidak terlibat dengan VSS dan diberhentikan apabila syarikat tersebut ditutup, diberikan perhatian sama.

“Kesemua mereka telah menanggung penderitaan luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan sewajarnya. Sebahagian besar mereka hilang mata pencarian dalam keadaan sangat mencabar, beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berdukacita apabila melihat syarikat yang bermula pada 1939 dan bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu, terhenti operasinya pada 2019. Akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi sebahagian daripada sejarah Melayu dan Malaysia,” katanya.

Tokoh wartawan negara itu menambah, selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi perakam sejarah negara yang dibanggakan ini.

“Sumbangan para wartawan dan petugas UMMB harus sentiasa dihargai. Apa yang berlaku pada mereka selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com