Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Merajuk insurans tak ‘cover’, wanita keluar hospital tanpa jelaskan bil

Merajuk insurans tak ‘cover’, wanita keluar hospital tanpa jelaskan bil

oleh admin

SUNGAI PETANI, 25 OKT – Berang kerana insurans diambil tidak melindungi dirinya, seorang wanita melarikan diri dari wad tanpa membuat sebarang pembayaran di sebuah hospital swasta, di sini semalam.
 
Berikutan itu, jururawat hospital swasta berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit kerana enggan bertanggungjawab serta mahukan pesakit dikenakan tindakan terhadap perbuatannya itu.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pesakit wanita berkenaan yang berusia 32 tahun pada mulanya mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit jam 6.40 petang kelmarin sebelum dia dimasukkan ke wad.
 
“Bagaimanapun, pada 9.30 malam pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insurans miliknya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.
 
“Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi,” katanya ketika dihubungi.
 
Menurutnya, pada 10.40 malam pesakit berkenaan didapati tiada dalam wad dan dikesan tidak membuat pembayaran serta mendaftar keluar dari hospital.    
 
“Kakitangan hospital cuba menghubunginya namun pesakit berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan satu laporan polis dibuat jururawat.
 
“Susulan daripada itu, polis turut menghubungi pesakit terbabit namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci,” katanya.
 
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memberitahu dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk wad.
 
“Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad.
 
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com