Thursday, 25, April, 2024
Utama Sukan KDA FC nafi isu tunggakan gaji 5 bulan

KDA FC nafi isu tunggakan gaji 5 bulan

oleh Ammar Haziq
KDA FC tidak mengalami tunggakan gaji sejak kelab itu ditubuhkan pada 2021.

ALOR SETAR, 21 OKTOBER – Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali berkata, kelab itu telah menerima laporan sejak semalam berkenaan isu tuduhan bahawa KDA FC menghadapi tunggakan 5 bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.

Menurutnya, KDA FC menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan pada tahun 2021 menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan.

“Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.

“Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak COVID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dimana telah menjejaskan penajaan kelab.

“Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama 5 bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Khamal Idris, kenyataan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan adalah satu kenyataan fitnah dan KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.

Menurutnya, kelab itu akan mengenalpasti pemilik akaun yang mengeluarkan kenyataan ini dan semua akaun media sosial dan portal yang memainkan isu ini seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com