Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri BDB sedia pelan tangani risiko banjir LRA Pelubang

BDB sedia pelan tangani risiko banjir LRA Pelubang

oleh Ammar Haziq
Sebahagian daripada kerja-kerja yang dijalankan untuk projek naik taraf dan pemasangan jajaran paip baharu LRA Pelubang. FOTO KECIL : Pemangku Presiden dan CEO Kumpulan BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli

ALOR SETAR, 18 Okt. – Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn. Bhd. (BDB Synergy) telah menyediakan pelan awal sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir di sekitar kawasan projek menaik taraf dan pemasangan jajaran-jajaran paip baru Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, BDB Synergy sebagai kontraktor utama projek berkenaan telah bersedia dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi mengharungi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menurutnya, selain dari kerja-kerja pembinaan di LRA Pelubang yang sedang dilaksanakan, kerja-kerja pemasangan paip air juga sedang giat dijalankan di tiga jajaran kawasan iaitu Sungai Baru ke Kuala Sungai, Bukit Tinggi ke Kuala Kedah dan Bukit Mengkuang ke Bukit Kayu Hitam.

“Oleh itu di setiap kawasan terlibat, kami akan memastikan air daripada kerja-kerja pemasangan paip tidak akan mengalir ke kawasan sawah padi dan setiap kawasan yang dikorek bagi kerja pemasangan paip juga akan ditutup setelah selesai kerja pada hari sama.

“Langkah itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya. Dalam masa sama, pergerakan air di kawasan parit dan sawah sekitar projek berkenaan akan dipantau
secara berkala bagi memastikan tiada sekatan kepada pengaliran air,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, BDB Synergy akan turut membersihkan serta mengorek parit yang terlibat dengan pemasangan paip tersebut
untuk mengurangkan risiko berlakunya banjir sekiranya hujan lebat melanda kawasan terlibat.

“Di samping itu, bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Projek berkenaan yang diketuai Pengarah Eksekutif BDB Synergy, Tahir Md Zin telah diperluaskan bagi memantau risiko kebarangkalian berlakunya banjir atau sebarang insiden tidak
diingini dalam tempoh projek dilaksanakan,” katanya.

Mohd Iskandar menambah, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjaga, BDB Synergy juga telah menyediakan talian aduan khas bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Papan tanda hotline aduan tersebut telah dipasang di setiap jajaran paip yang terlibat. Perkara itu jelas menunjukkan bahawa BDB serius dalam memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjamin sepanjang projek berkenaan dijalankan.

“Untuk itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk menghubungi hotline berkenaan atau talian bencana yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kedah sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak di kawasan projek tersebut, “ ujarnya.

Untuk rekod, BDB Synergy telah dilantik pada 20 Mei 2021 oleh Kerajaan Negeri Kedah sebagai kontraktor utama projek menaik taraf LRA Pelubang dan pemasangan jajaran paip bernilai RM431 juta.

KBDB Synergy sebelum ini turut mempunyai rekod yang baik dalam menyiapkan pembinaan LRA apabila telah berjaya menyiapkan LRA Pokok Sena pada 2018, selain turut terlibat dalam projek LRA Kuala Ketil pada 2005 dan menaik taraf saluran paip dari Gurun ke Jeniang serta Sik ke Baling.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com