Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat, empat plastik berisi cat ditemukan

Kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat, empat plastik berisi cat ditemukan

oleh Ammar Haziq
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir bersama pegawainya memeriksa kesan lemparan cat di tembok Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, hari ini.

ALOR SETAR, 17 Okt. – Polis menemukan sebanyak empat plastik dengan dua daripadanya berisi cat merah dan dua lagi berisi cat biru berhampiran kawasan tembok Kediaman Menteri Besar di Seri Mentaloon yang disimbah cat, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu disedari seorang petugas di kediaman rasmi tersebut, yang memaklumkan kepada balai pengawal sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu serta motif suspek berbuat demikian.

“Ketika pertukaran pengawal kira-kira pukul 7 pagi, tiada sebarang kesan cat dikesan pada tembok tersebut. Jadi kita mengesyaki kejadian tersebut berlaku selepas pada waktu itu.

“Pihak forensik sudah menjalankan tugas dan siasatan sudah pun bermula. Kawasan kediaman ini tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV) namun kita akan mendapatkan rakaman di kawasan berhampiran untuk membantu mengenal pasti suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Pokok hiasan di belakang pagar di Seri Mentaloon yang turut terkena cat dilempar individu tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati tiada kerosakan serius dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

“Dalam keadaan kita hampir dengan Pilihan Raya Umum (PRU-15), saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat spekulasi terhadap kejadian ini.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Selain tembok, cat tersebut turut mengenai pintu pagar serta pokok hiasan di belakang tembok tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com