Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Anak curiga kematian ibu, mohon polis siasat dan gali kubur semula

Anak curiga kematian ibu, mohon polis siasat dan gali kubur semula

oleh admin

KULIM, 7 OKT – Kubur seorang wanita warga emas yang ditemukan meninggal dunia dalam rumahnya di sebuah kampung di Serdang dekat sini baru-baru ini terpaksa digali semula yang dijangka akan dilakukan, pagi ini.

Ini berikutan, anak kepada wanita berusia 79 tahun itu mengesyaki ibunya kemungkinan menjadi mangsa jenayah selepas barang kemas iaitu gelang, dua cincin dan telefon bimbit mangsa didapati hilang.

Menurut sumber, selain kehilangan barang berharga berkenaan, anaknya turut mendakwa dia melihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.

“Selain itu, anak mangsa juga mendakwa dia dimaklumkan terdapat kesan lebam di kanan badan serta telinga dan luka di hidung jenazah ibunya ketika dimandikan.

“Susulan daripada itu, satu laporan polis dibuat anak wanita warga emas terbabit yang mengesyaki ibunya kemungkinan menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Sumber berkata, susulan daripada laporan serta maklumat daripada anaknya itu polis memohon permit sebelum mahkamah membenarkan menggali semula kubur wanita terbabit yang dijangka pagi ini bagi tujuan bedah siasat.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa ditemukan anak saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa seurat benang manakala baju serta kain batik dipakainya ditemui atas lantai.

Jenazah wanita warga emas terbabit yang kesnya disahkan sebagai mati mengejut dikebumikan tiga hari lalu sebelum anaknya membuat laporan polis meminta supaya siasatan lanjut dilakukan kerana mengesyaki kematian itu mempunyai unsur jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan berhubung kes berkenaan namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com