Pengarah projek syarikat disyaki buat tuntutan palsu RM2.4 juta

79
Suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan.

KUALA LUMPUR, 6 Okt. – Seorang pengarah projek sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.4 juta berhubung pembayara projek kabel dasar laut di utara tanah air.

Sumber memaklumkan, suspek berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Katanya, syarikat yang mengendalikan projek tersebut telah membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan dijalankan SPRM.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Noorlynna Hanim Abd. Halim di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Dato’ Shaharom Nizam Abd. Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.