Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Semua konsert dihentikan sementara di Kedah sehingga SOP baharu ditetapkan

Semua konsert dihentikan sementara di Kedah sehingga SOP baharu ditetapkan

oleh Ammar Haziq
Firdaus Ahmad

ALOR SETAR, 4 Okt – Semua konsert terbuka di Kedah akan dihentikan sementara waktu sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata pemberhentian sementara itu bagi membolehkan kerajaan negeri berbincang mengenai penyelarasan SOP penganjuran konsert di Kedah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan semalam memaklumkan sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

“Apa yang Menteri Besar maklum itu adalah secara umum jadi tidak pasti jenis konsert yang bagaimana mana tidak dibenarkan. Esok, saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Negeri untuk diperincikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung kejadian muda-mudi yang terkinja-kinja dalam penganjuran ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober lalu.

Mohd Firdaus berkata hasil perjumpaan bersama pihak penganjur juga mendapati tiada sebarang pelanggaran telah dilakukan oleh penganjur dan kejadian yang berlaku pada 1 Oktober lalu adalah diluar jangkaan.

“Penganjur sedia maklum dengan arahan dan SOP yang perlu dipatuhi. Mereka juga telah mendapat kebenaran pihak polis dan lesen hiburan untuk penganjuran program berkenaan.

“Penganjur juga telah mengambil tindakan awal dengan memberhentikan konsert pada waktu kejadian itu berlaku bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Tambahnya, dia sendiri telah melihat tentatif program selama dua hari itu di mana sebarang aktiviti hiburan akan dihentikan pada pukul 1 tengah hari, 4 petang, 7 dan 8 malam bagi menunaikan fardhu solat.

“Perkara ini menjadi isu besar kerana tapak program terletak berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam. Kalau buat dekat tempat lain mungkin tidak jadi masalah, jadi boleh dikatakan pemilihan lokasi yang salah.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi akan melihat kembali perkara-perkara yang boleh diperkemaskan lagi supaya kejadian yang berlaku itu tidak akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, sekatan terhadap program-program seperti itu tidak boleh terus dilakukan kerana ia akan menyukarkan usahawan kecil untuk menjana pendapatan selain turut merencatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Sementara itu, penganjur program berkenaan Ainol Zulkarnain Zainal Abidin berkata pihaknya memohon maaf sekiranya telah mendatangkan sebarang kesulitan kepada pihak Balai Seni, Muzium Kedah dan juga kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com