Saturday, 20, April, 2024
Utama Politik Pemuda MCA Sungai Petani tak setuju jika semua konsert diharamkan di Kedah

Pemuda MCA Sungai Petani tak setuju jika semua konsert diharamkan di Kedah

oleh admin

SUNGAI PETANI, 4 Okt. – Ketua Pemuda MCA Sungai Petani, Ng Kooi Wei hari ini menyatakan rasa tidak setuju terhadap keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwanya telah membuat keputusan untuk mengharamkan semua penganjuran konsert di negeri ini.

Ketua Pemuda MCA Sungai Petani, Ng Kooi Wei

Menurut Kooi Wei, Muhammad Sanusi telah mengambil tindakan terburu-buru ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mengeluarkan kenyataan agar semua pihak tidak membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk.

“Merujuk kepada program Muda Mudi Weekend Fest. di Balai Seni Alor Setar baru-baru ini, MCA harap kerajaan negeri siasat dulu dan tetapkan peraturan atau etika penganjuran program yang akan diadakan di Kedah.

“Contohnya lokasi, pengisian, pakaian dan masa aktiviti dijalankan tetapi bukan diharamkan terus program tersebut tanpa pertimbangan teliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam Muhammad Sanusi menerusi satu kenyataan memaklumkan, penganjuran Muda-Mudi Weekend Fest. melibatkan konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

Menurut Menteri Besar, tindakan muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert dalam festival tersebut menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan, tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

Begitu pun setakat ini tiada penjelasan lanjut dari kerajaan negeri sama ada semua konsert akan diharamkan daripada diadakan di Kedah.

Mengulas lanjut Kooi Wei berkata, galakkan dan bantuan harus disalurkan kepada pihak penganjur serta golongan muda untuk meningkatkan penglibatan remaja dan belia melalui program seni budaya, perkembangan perniagaan serta cetusan idea keusahawanan untuk semua lapisan kaum di Kedah.

“Saya menggesa Menteri Besar menarik balik kenyataan beliau dan mengarahkan pihak berkenaan menyampaikan laporan dan cadangan pada masa terdekat.

“Kepada golongan muda di Kedah, MCA menyokong program muda-mudi yang kreatif dan berinovasi serta membawa kebaikan kepada masyarakat, bersesuaian dengan budaya kita ke arah kemajuan dan kemakmuran Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com