Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Muda-Mudi Weekend Fest tak lagi dibenarkan di Kedah

Muda-Mudi Weekend Fest tak lagi dibenarkan di Kedah

oleh admin

ALOR SETAR, 3 Okt. – Selepas tular di media sosial perlakuan tidak senonoh sekumpulan anak muda terkinja-kinja dalam sebuah konsert dataran berhampiran Balai Seni kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini bertegas agar penganjuran Muda Mudi Weekend Fest. tidak lagi dibenarkan di Kedah.

Tegas Muhammad Sanusi, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan, tidak boleh diberikan ruang untuk ‘membiak’.

“Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti ‘fun run’, ‘fun ride’, ‘treasure hunt’, pertandingan memancing dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka serta sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan.

“Semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Sejak kelmarin tular di media sosial klip video memaparkan kalangan anak muda terkinja-kinja di hadapan pentas sewaktu kumpulan muzik mengadakan persembahan di sebuah festival, dekat Balai Seni.

Tindakan itu menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati kerana dianggap melanggar tatasusila masyarakat di Kedah, selain kedudukan konsert tersebut tidak jauh dari masjid negeri iaitu Masjid Zahir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com