Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Wanita mengaku tidak bersalah terima deposit haram

Wanita mengaku tidak bersalah terima deposit haram

oleh Ammar Haziq
Norsyazwany (tengah) didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 8.12 malam di Bank Islam Cawangan Lagenda Heights di sini 23 Julai lalu.

SUNGAI PETANI, 29 SEPT – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa menerima wang deposit haram, Julai lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, yang juga ibu kepada dua anak membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, wanita yang berasal dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling, Kedah itu didakwa menerima wang deposit berjumlah RM3,000 daripada Syakirah Ab Rahman, 31, tanpa suatu lesen sah yang diberikan bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Norsyazwany didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 8.12 malam di Bank Islam Cawangan Lagenda Heights di sini 23 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum bawah Seksyen 137(2) Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 15 November depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 12 September lalu, Norsyazwany dihadapkan di Mahkamah Seksyen Sik kerana didakwa dengan 22 pertuduhan menerima deposit haram dari individu berlainan berjumlah RM876,375 di Baling sejak April lalu.

Wanita terbabit juga turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 September lalu atas dua pertuduhan menerima deposit haram berjumlah RM110,500.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com