Tuesday, 16, April, 2024
Utama Umum Tentera patahkan cubaan 25 PATI Myanmar masuk Malaysia

Tentera patahkan cubaan 25 PATI Myanmar masuk Malaysia

oleh admin

ALOR SETAR, 28 Sept – Hasrat 25 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar untuk masuk ke negara terbantut apabila mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota tentera, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI yang cuba masuk melalui sempadan negara Malaysia-Thailand itu ditahan di kawasan laluan Loji Rawatan Air Kota Putra, sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Pada pukul 8.20 pagi, pasukan ronda yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan sempadan telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan yang cuba bersembunyi di dalam hutan berhampiran loji rawatan air berkenaan.

“Anggota pasukan berjaya menjejaki dan menahan kesemua PATI yang terdiri daripada 19 lelaki dan enam wanita yang berumur antara 17 hingga 45 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut merampas 19 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand yang berjumlah hampir RM3,000.

“Turut dirampas ialah 21 kad pengenalan warga Myanmar dan 27 beg galas dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai lebih RM12,300. Kesemua PATI telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com