Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Gold bar dibeli hilang, RM10,570 ‘hangus’…

Gold bar dibeli hilang, RM10,570 ‘hangus’…

oleh admin

KULIM, 29 SEPT – Lebih sebulan menanti, namun jongkong emas (gold bar) dibeli seorang lelaki melalui laman web bernilai lebih RM10,000 langsung tidak diterima selepas ia didapati hilang di sebuah syarikat penghataran, di sini bulan lalu.

Berikutan itu, mangsa yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai juruteknik membuat satu laporan polis Ahad lalu kerana curiga dan mengesyaki ia dicuri ketika dalam simpanan di premis syarikat terbabit.

Menurut sumber, mangsa yang menetap di Pulau Pinang memberitahu dia pada mulanya melayari laman web sebuah syarikat untuk membuat pembelian emas ketika berada di rumahnya pada 8 Ogos lalu.

“Mangsa kemudian mendakwa dia berurusan dengan kakitangan wanita syarikat tebabit sebelum bersetuju membeli jongkong emas seberat 40 gram (g) berharga RM10,570.

“Selepas segala proses selesai, mangsa membuat pembayaran keesokan harinya melalui transaksi ke akaun bank yang didaftar atas nama sebuah syarikat,” katanya.

Sumber berkata, kakitangan wanita syarikat terbabit yang berurusan dengan mangsa sepanjang proses pembelian itu kemudian memberikan ‘tracking number’ untuk memudahkan lelaki itu membuat semakan ketika jongkong emas itu dihantar melalui kiriman kurier.

“Mangsa membuat semakan menggunakan tracking number itu pada 13 Ogos lalu dan mendapati barang dibelinya sudah tiba di pejabat syarikat penghantaran terbabit.

“Bagaimanapun, dia yang mahu mengambil barang dibelinya dimaklumkan yang ia tiada dalam simpanan di pejabat syarikat terbabit membuatkan mangsa tidak berpuashati dengan kejadian itu,” katanya.

Katanya, mangsa bagaimanapun memberi peluang kepada kakitangan syarikat penghantaran terbabit untuk mencari barang miliknya itu namun dia kecewa apabila menerima jawapan sama daripada pekerja yang memaklumkan ia tiada dalam simpanan mereka dan gagal ditemui.

“Selepas lebih sebulan bersabar mangsa akhirnya membuat satu laporan polis kerana mengesyaki barang miliknya itu kemungkinan dicuri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com