Tuesday, 23, April, 2024
Utama Negeri Bapa dera anak didenda RM15,000

Bapa dera anak didenda RM15,000

oleh Ammar Haziq
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 20021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

SUNGAI PETANI, 29 SEPT – Perbuatan kejam seorang bapa yang mendera anak lelakinya membuatkan dia terpaksa mengeluarkan wang RM15,000 selepas dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Tan Chung Jian, 29, dikenakan hukuman denda itu selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit di sebuah rumah di Taman Desa Jaya 2, di sini antara Ogos sehingga September.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 20021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Khamis lalu, seorang murid tahun satu disyaki menjadi mangsa dera bapanya selepas guru penolong kanan mendapati terdapat kecederaan di muka dan badan mangsa.

Rahsia itu terbongkar selepas guru penolong kanan berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap mangsa yang ketika itu berkelakuan pelik kerana memakai jaket dalam kelas dipercayai untuk menyembunyikan kesan luka dan cedera.

Satu laporan polis dibuat dan susulan daripada itu, bapa kanak-kanak terbabit berjaya ditahan dan siasatan mendapati suspek mengaku memukul anak tunggalnya itu menggunakan penyapu, rotan dan senduk kerana mendakwa mangsa degil dan hiperaktif.

Difahamkan, mangsa yang sebelum ini dijaga neneknya sejak kecil dibawa tinggal bersama bapa dan ibu tiri sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com