Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Program perbetulkan bacaan Quran, buka puasa sunat di Masjid Zahir secara percuma bermula Oktober depan.

Program perbetulkan bacaan Quran, buka puasa sunat di Masjid Zahir secara percuma bermula Oktober depan.

oleh admin

ALOR SETAR, 28 Sept – Masjid Negeri Masjid Zahir akan menganjurkan pelbagai program pengimarahan masjid dengan pengisian kerohanian serta keilmuan bagi membantu meningkatkan mutu ibadat dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Masjid Zahir Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar Al-Hafiz berkata program-program yang akan dan telah dijalankan itu, merupakan satu usaha untuk menarik minat umat Islam untuk hadir lebih ramai ke masjid.

Bermula Oktober depan, dua program baharu akan dianjurkan iaitu ‘Jom Belajar Quran Di Masjid Zahir’ yang akan bermula pada 2 Okt manakala ‘Berbuka Puasa Isnin & Khamis’ akan bermula pada 3 Okt dan kedua-dua program itu akan diadakan di Masjid Zahir.

“Bagi program belajar Quran, ia akan diadakan pada setiap hari Ahad hingga Khamis bermula pukul 1.30 hingga 2.30 petang. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja dan dijalankan secara percuma.

“Program ini tidak berat… selepas menunaikan solat Zohor, bagi yang ingin menguji bacaan ayat al-Quran mereka boleh datang berjumpa dengan tenaga pengajar di ruangan anjung utama masjid,” katanya kepada Kedah Gazette, hari ini.

Katanya, dua tenaga pengajar lelaki dan dua tenaga pengajar wanita yang terdiri daripada pegawai Masjid Negeri, akan membantu membetulkan bacaan yang kurang tepat bagi memastikan mereka yang hadir dapat membaca al-Quran dengan lancar dan tepat.

Beliau berkata, bagi program berbuka puasa pula, ia akan diadakan pada setiap hari Isnin dan Khamis yang mana ramai antara umat Islam mengambil peluang untuk berpuasa sunat pada dua hari berkenaan.

“Objektif program ini adalah untuk menggalakkan umat Islam berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Bagi yang berpuasa pada hari berkenaan, mereka boleh datang berbuka puasa di masjid kerana kita ada menyediakan bubur lambuk dan kurma.

“Program bermula pukul 7 malam, mereka boleh datang ambil makanan, berbuka puasa di kawasan yang disediakan dan selepas itu menunaikan solat Maghrib secara berjemaah,” katanya.

Sebagai permulaan katanya, pihaknya akan menyediakan makanan bagi 100 jemaah dan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan, jumlah penyediaan makanan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Syeikh Khairul Firdaus berkata pihaknya juga telah mengadakan program Khatam Subuh yang telah dijalankan sejak April lalu.

“Kita mahu tanamkan dan semarakan budaya al-Quran yang mana kita mulakan hari dengan bacaan al-Quran. Setiap hari, pada waktu solat Subuh, Imam akan membaca satu maqra.

“Diharapkan, dengan semua program-program yang diadakan ini dapat menarik minat lebih ramai umat Islam untuk datang mengimarahkan masjid lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com