Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Monsum Timur Laut : APM lebihkan tumpuan pada Baling dan Kulim

Monsum Timur Laut : APM lebihkan tumpuan pada Baling dan Kulim

oleh Ammar Haziq
Sebahagian daripada simulasi dijalankan APM di Sungai Merbok hari ini sebagai persediaan berdepan kedatangan Monsun Timur Laut.

Merbok, 28 Sept. – Daerah Baling dan Kulim merupakan dua kawasan yang paling diberi tumpuan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kedah menjelang kehadiran Monsun Timur Laut pada tahun ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, daripada keseluruhan 373 kawasan panas (hotspot) banjir disenaraikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di negeri ini, 53 kawasan terletak di Baling manakala 25 lagi berada di Kulim.

Selain itu katanya, tumpuan sama turut diberikan kepada kawasan berisiko banjir lain di Lembangan Sungai Muda iaitu Kuala Muda, Bandar Baharu dan Sik, serta beberapa lokasi di Kota Setar dan Kubang Pasu yang kerap terjejas akibat kejadian banjir kilat.

Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub

“Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, taburan hujan akan turun dengan lebih kerap di negeri ini pada kemuncak bulan November. Insya Allah, setakat ini kita telah menjalankan pelbagai persiapan bagi menghadapi apa jua kemungkinan.

“Kita bersedia untuk seluruh Kedah tetapi bersandarkan kepada data yang diperolehi sejak tiga tahun lepas iaitu pada 2019, 2020 dan 2022, perhatian yang lebih kita berikan kepada Baling dan Kulim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika turut serta dalam Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah Dalam Menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 di Sungai Merbok hari ini.

Sebanyak 38 aset darat dan 53 aset air dilibatkan dalam simulasi tersebut bagi memastikan kesiapsiagaan warga APM termasuk aset-aset dimiliki berada di tahap tertinggi.

Sementara itu Awang Askandar menasihatkan agar orang awam turut sama bersiap-sedia untuk berdepan segala kemungkinan selain segera berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Menurutnya, golongan yang tinggal di kawasan berpotensi tinggi terjejas dengan banjir boleh mengambil langkah awal sebagai persediaan untuk berdepan keadaan kecemasan.

Anggota APM melakukan demonstrasi menyelamat ketika Simulasi Kesiapsiagaan APM Kedah di Sungai Merbok, hari ini.

“Contohnya ambil satu beg dan letakkan segala dokumen penting, ubat-ubatan, serta barangan keperluan asas siap-siap. Jika berlaku banjir dan diarahkan berpindah, boleh terus capai begitu dan terus berpindah seperti diarahkan pihak berwajib.

“Itu mampu mengurangkan risiko dihadapi mereka dan pasukan penyelamat apabila berlaku kecemasan. Kalau arus sudah deras, air kian dalam dan cuaca makin gelap, risiko terhadap nyawa mereka dan pasukan penyelamat amat tinggi serta mungkin akan melewatkan usaha untuk kerja-kerja menyelamatkan mangsa lain yang turut terjejas,” katanya. 

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com