Saturday, 20, April, 2024
Utama Politik Warisan sasar bertanding lapan kerusi Parlimen di Kedah 

Warisan sasar bertanding lapan kerusi Parlimen di Kedah 

oleh admin

ALOR SETAR, 26 Sept. – Parti Warisan (Warisan) Kedah bercadang untuk bertanding di lapan kawasan Parlimen dalam negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi, lapan kerusi tersebut Parlimen tersebut adalah Pokok Sena, Pendang, Kuala Kedah, Padang Serai, Baling, Alor Setar, Sungai Petani dan Merbok.

Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi

Katanya, cadangan untuk bertanding di kawasan tersebut akan dibawa ke peringkat kepimpinan Pusat sebelum mendapat kata putus Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Di Kedah, Warisan kini sudah mula aktif di 13 daripada 15 kawasan Parlimen. Daripada jumlah itu, terdapat lapan kawasan Parlimen yang disasarkan untuk ditandingi dalam PRU-15 nanti.

“Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan juga terletak dalam lapan kawasan Parlimen tersebut. Semua cadangan itu akan diangkat ke peringkat Pusat dan keputusan sebenar berapa kerusi Parlimen serta DUN akan kami tandingi, bakal diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir ke Flat Simpang Kuala di sini bagi mendengar keluhan penduduk di situ.

Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi bersama kepimpinan Warisan negeri meninjau keadaan di Flat Simpang Kuala, hari ini.

Mohd. Shafie sebelum ini sudah beberapa kali membuat kenyataan bahawa parti itu tidak akan bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN sebaliknya akan memberi fokus kepada kawasan-kawasan tertentu yang berpotensi untuk menang.

Warisan di negeri ini baru saja dilancarkan di negeri ini oleh Mohd. Shafie pada 17 September lalu.

Fadzil menambah, sebagai sebuah parti yang baharu bertapak di negeri ini, pihaknya sedar masih ramai yang belum mengenali Warisan.

“Kami tidak banyak berbeza dengan parti lain tetapi apa yang mahu ditonjolkan adalah, Warisan cukup prihatin dengan isu dan masalah rakyat. Kita bukan saja mahu mengumpulkan isu malah membantu mengenengahkannya.

“Kalau kita berjaya selesaikan masalah dihadapi, rasanya itu merupakan satu kejayaan besar dan terpulang kepada rakyat untuk buat penilaian,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com