Friday, 26, April, 2024
Utama Nasional Keberanian PM jadi kebanggaan negara Islam sedunia

Keberanian PM jadi kebanggaan negara Islam sedunia

oleh Ammar Haziq
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR, 27 September – Keberanian dan ketegasan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 di New York Jumaat lalu membuka mata negara Islam sedunia.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyifatkan ucapan itu membawa suara keadilan buat dunia Islam dalam menangani isu-isu global yang kini menjadi sebutan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam seluruh dunia.
 
“Kelantangan Perdana Menteri agar kuasa Veto dihapuskan demi menjamin sebuah demokrasi global agar krisis dan konflik dapat diselesaikan dengan segera serta meminta agar negara-negara besar dunia membantu dan memberi peruntukan segera kepada negara yang ditimpa bencana tanpa syarat adalah salah satu usul yang tepat dan wajar diambil kira oleh PBB.

Ini kerana, krisis yang berlaku, sekiranya berterusan tanpa ada penyelesaian, tanpa mereka sedari, konflik yang berlaku sebenarnya turut memberi impak bahaya kepada negara kuasa besar kerana ianya isu global,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
 
Tambah beliau, kesediaan Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan juga wajar mendapat pujian dan disanjung tinggi.
 
Ia juga katanya, menjadi satu sejarah buat Malaysia apabila Bahasa Melayu dimartabatkan di pentas utama perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia.
 
“Walaupun Malaysia sebuah negara kecil dunia, tapi suara dan keberanian Perdana Menteri kita menyampaikan pendirian terhadap isu-isu global wajar menjadi contoh yang mampu memberikan inspirasi buat negara kecil lainnya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com