Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Empat remaja cedera, kereta kancil terbabas dalam parit

Empat remaja cedera, kereta kancil terbabas dalam parit

oleh Ammar Haziq
Keadaan kereta Perodua Kancil yang terbabas ke dalam parit di jalan Pokok Jambu dan menyebabkan empat remaja lelaki mengalami kecederaan ringan.

ALOR SETAR, 27 Sept – Empat remaja lelaki cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Pokok Jambu, Padang Serai dekat Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebuah kereta terbabas sendiri kira-kira pukul 11.30 malam.

“Hasil siasatan mendapati, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu remaja berusia 16 tahun bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 hingga 21 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Padang Serai.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Keadaan kereta Perodua Kancil yang terbabas ke dalam parit di jalan Pokok Jambu dan menyebabkan empat remaja lelaki mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, pemandu mengalami kesakitan di bahagian dada manakala tiga lagi penumpang mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com