Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Gara-gara pulang lewat, budak reka cerita diculik

Gara-gara pulang lewat, budak reka cerita diculik

oleh admin

KULIM, 26 SEPTEMBER – Bimbang dimarah keluarga kerana pulang lewat, seorang budak lelaki darjah empat membuat laporan polis kononnya dia menjadi mangsa cubaan culik 17 September lalu.

Datuk Wan Hassan Wan Ahmad
Ketua Polis Kedah

Berikutan itu, berita mengenai cubaan culik murid darjah empat yang didakwa berlaku di Taman Angsana, di sini itu tular di media sosial hari ini sehingga menimbulakn kegusaran kepada orang ramai.


Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berkenaan yang membuat laporan polis sengaja mereka cerita kerana bimbang dimarahi keluarga selepas dia pulang lewat ke rumah.


Menurutnya, kanak-kanak itu dalam laporan polis dilakukan mendakwa dia dan abangnya yang berusia 13 tahun berada di sebuah kawasan perumahan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertanyakan lokasi sebuah sekolah kepada mereka jam 3.30 petang.


“Kanak-kanak berkenaan memberitahu dia bersama abangnya kemudian pergi menunjukkan lokasi sekolah kepada lelaki terbabit dan mendakwa ketika dalam perjalanan lelaki itu berhenti membuang air kecil di kawasan hutan berhampiran.


“Ketika itu, kanak-kanak berkenaan mendakwa yang dia terdengar lelaki terbabit memberitahu kepada seorang rakan yang dihubungi melalui telefon bimbit tentang rancangan untuk menculiknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, kanak-kanak itu kemudian mendakwa dia terpaksa berlari ke jalan besar untuk meminta pertolongan daripada seorang lelaki tidak dikenali bagi menghantarnya pulang.
“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu membuat laporan polis kerana bimbang dimarahi keluarga selepas dia pulang kewat ke rumah,” katanya.


Hari ini, beberapa mesej yang mendakwa berlaku cubaan culik budak darjah empat di Taman Angsana tular selepas ia dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook (FB).


Mesej terbabit mendakwa mangsa berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan penculik berhampiran kolam udang di belakang sebuah sekolah.


Wan Hassan berkata, berikutan itu pemilik akaun FB berkenaan sudah memadamkan status yang dimuat naik berkenaan dan polis ingin menasihati orang ramai supaya jangan mudah percaya dan menyebar berita yang tidak sahih lebih-lebih lagi membabitkan isu sensitif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com