Wednesday, 17, April, 2024
Utama Negeri Lelaki maut kereta dirempuh lori dari arah hadapan

Lelaki maut kereta dirempuh lori dari arah hadapan

oleh admin

ALOR SETAR, 25 Sept – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah lori dari arah hadapan dalam kejadian di KM29 Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai, dekat Padang Terap, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta jenis Perodua Kenari yang berusia 34 tahun manakala pemandu lori yang berusia 36 mengalami kecederaan.

Keadaan kereta Perodua Kenari dan lori yang terlibat dalam kemalangan di Kuala Nerang hari ini yang mengorbankan pemandu kereta berusia 34 tahun.

“Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.20 petang itu melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori. Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Nerang menuju ke Sintok manakala lori berkenaan datang dari arah bertentangan.

“Sampai di tempat kejadian, lori itu dipercayai telah masuk ke laluan mangsa hingga menyebabkan berlaku pelanggaran secara berdepan. Pelanggaran telah menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuala Nerang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori yang berasal dari Alor Setar yang mengalami kecederaan masih dirawat di Hospital Kuala Nerang. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com