Tuesday, 16, April, 2024
Utama Negeri Orang awam tahan lelaki cuba larikan rantai emas

Orang awam tahan lelaki cuba larikan rantai emas

oleh Ammar Haziq
Tangkap layar rakaman CCTV disiarkan di Tik Tok menampakkan suspek (kiri), sedang berpura-pura meneliti barangan kemas sebelum melarikannya.

ALOR SETAR, 24 Sept – Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan seutas rantai tangan emas dari sebuah kedai emas di Jalan Putra, Alor Setar terbantut apabila berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek yang berusia 21 tahun telah datang ke kedai berkenaan kira-kira pukul 5 petang dan berpura-pura mahu membeli barangan kemas.

“Suspek terdahulu telah melihat rantai tangan emas dengan anggaran berat 99.34 gram sebelum melarikan barang kemas itu. Jurujual kedai yang menyedari tindakan itu telah mengejar suspek sebelum menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kejadian.

“Suspek telah berjaya ditahan oleh orang awam berhampiran lampu isyarat Tambang Badak. Pasukan cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Alor Setar yang menerima laporan kira-kira pukul 6.35 petang telah ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan semula ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suspek (kiri) ditahan oleh orang awam. Rantas emas yang gagal dilarikan (kanan)

Beliau berkata polis telah merampas seutas rantai tangan emas yang dilarikan suspek termasuk sebuah kenderaan jenis Volkswagen MK7 yang dinaiki suspek pada hari kejadian.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, tular satu video berdurasi satu minit 32 saat yang dimuatnaik di aplikasi TikTok memaparkan kejadian seorang individu telah melarikan seutas rantai emas dari sebuah premis yang menjual barangan kemas yang terletak di pusat bandar Alor Setar.

Video berkenaan mendapat pelbagai respon dan reaksi daripada masyarakat dengan mendapat 26,600 likes, 568 komen dan 511 perkongsian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com