Jadikan titah Sultan Perak sebagai pegangan pilih pemimpin bebas rasuah – Mukhriz

65

JERLUN, 23 Sept. – Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar semua pihak tidak memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi atau helah untuk menidakkan kewujudan rasuah di depan mata, seharusnya menjadi pegangan rakyat negara ini memilih pemimpin menjelang kedatangan Pilihan Raya Umum Ke-15.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, titah baginda merupakan satu peringatan betapa rasuah mampu mengundang kemusnahan kepada agama, bangsa dan tanah air sekiranya diteruskan di negara ini.

Menurutnya, beliau risau kerana terdapat individu yang mengaku sebagai pemimpin dan sering keluar masuk mahkamah, tetapi masih berlagak seolah-olah diri mereka merupakan satu-satunya orang yang layak mendapat sokongan rakyat bagi memimpin negara.

“Kadang-kadang kita tak faham macam mana mereka masih boleh anggap hanya dirinya seorang saja yang boleh memimpin negara sedangkan ketika berkuasa, masing-masing menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Maka saya amat berharap menjelang PRU-15, rakyat peka dengan masalah ini dan hanya memilih calon-calon terbukti bersih, yang tidak terlibat dengan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa dekat sini, hari ini.

Ketika melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu semalam, Sultan Nazrin turut bertitah agar penilaian rasuah wajib dilakukan secara jujur, ikhlas dan serius jika semua pihak mahu membendung serta menghapuskannya.

Malah menurut baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui realiti akan berlakunya amalan rasuah pada skala membahayakan ketika ini.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama penduduk Kampung Megat Dewa melakukan kerja-kerja menampi bagi membuat emping.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, rakyat dalam masa sama turut perlu bijak membezakan antara tohmahan dengan kes-kes rasuah yang sememangnya terbukti disabitkan dengan kesalahan di mahkamah.

“Jangan pula termakan fitnah dan silap membuat keputusan kerana fitnah itu juga kerap berlaku dalam negara ini. Bagaimanapun dalam memilih pemimpin, titah baginda itu wajar dijadikan pegangan,” katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata, gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggotai empat parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika ini menyasarkan untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu dan kawasan pinggir bandar yang mempunyai undi campuran dari kaum-kaum lain.

Menurutnya, beliau menjangkakan yang parti tersebut akan bertembung dengan UMNO dan Pas dalam PRU-15 nanti.

“Jadi kita kena yakinkan orang Melayu untuk tidak lagi menyokong kedua-dua parti tersebut. UMNO dengan masalah penyelewengan manakala Pas pula gagal menguruskan segala benda.

“Kementerian-kementerian diuruskan Pas juga tak ‘berjalan’ dan di Kedah ini pun, rakyat dapat menilai kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang saya kira ketika ini, ramai ternanti-nanti untuk menolak beliau pada PRU akan datang,” katanya.