Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Tiga parah,van pekerja kemalangan dengan lori muatan ais

Tiga parah,van pekerja kemalangan dengan lori muatan ais

oleh Ammar Haziq

Tiga cedera parah manakala empat lagi cedera ringan dalam kemalangan di Jalan Batu Putih, Kulim yang melibatkan lori muatan ais dan van pekerja.

ALOR SETAR, 22 Sept – Tiga cedera parah manakala empat lagi cedera ringan apabila van pekerja yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan ais di Jalan Batu Putih dekat Kulim, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Zamani Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.54 pagi.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim telah digerakkan ke lokasi kejadian. Sampai di tempat kejadian, anggota JBPM mendapati kemalangan melibatkan sebuah van pekerja jenis Toyota Hiace dan lori jenis Hino.

“Mangsa yang cedera parah ialah tiga wanita manakala empat wanita pula cedera ringan dan kesemua mereka merupakan penumpang di dalam van pekerja itu. Dua lelaki yang merupakan pemandu van dan pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Lori muatan ais terbabas ke dalam longkang selepas kemalangan dengan sebuah van kerja.

Beliau berkata kesemua mangsa yang berumur antara 24 hingga 48 tahun itu tidak tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

“Kesemua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk tindakan selanjutnya. Kerja-kerja pembersihan serpihan kenderaan yang terlibat telah dilakukan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.17 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com