Wang RM25,000 untuk tunai umrah hangus terbakar

69

SUNGAI PETANI, 21 SEPT – Sejak Mei lalu, sudah tiga kali rumah didiami terbakar dengan kejadian terbaru turut memusnahkan impiannya untuk menunaikan umrah apabila wang tunai RM25,000 yang baru beberapa hari dikeluarkan daripada bank hangus dijilat api.


Itu ujian terpaksa ditempuh ibu tunggal tiga anak perempuan berusia 24 hingga 34 tahun, Hayati Md Zain, 60, apabila rumah teres dua tingkat didiami di Bandar Puteri Jaya musnah dijilat api awal pagi semalam selepas kali ketiga terbakar.
 

Menurutnya, kebakaran kali pertama berlaku di bahagian luar tingkat bawah rumah bekenaan pada Mei lalu yang juga hari ke-10 umat Islam menyambut Aidilfitri dan siasatan mendapati ia berpunca daripada litar pintas.
 

Hayati yang juga peniaga nasi campur berkata ketika itu umat Islam masih dalam suasana menyambut Aidilfitri dan dua anak perempuannya turut pulang berkumpul di rumah.


“Anak sulung tinggal bersama mentua manakala bongsu menyewa di luar dan hanya saya bersama anak kedua tinggal di rumah ini.


“Ketika kejadian kali pertama itu kami semua berada di tingkat atas sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu ada kebakaran di tingkat bawah,” katanya.


Menurutnya, kebakaran memusnahkan siling bahagian luar rumah serta kompresor pendingin hawa dan siasatan bomba mendapati ia berpunca daripada litar pintas pendawaian elektrik di rumah.


“Saya kemudian mengupah pekerja membuat pendawaian elektrik baru di tingkat bawah dan tiada lagi masalah berlaku selepas itu,” katanya.


Hayati yang menetap di rumah itu sejak enam tahun lalu berkata, kebakaran kali kedua berlaku jam 11 malam Ahad lalu ketika dia sedang tidur di bilik tingkat atas.


“Mujur saya terdengar bunyi percikan api yang ketika itu bermula daripada alat pendingin hawa sebelum ia pantas menyambar langsir dan anak yang berada di bilik sebelah menjerit supaya menyelamatkan diri.


“Kami hanya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana api marak dengan pantas,” katanya.

Kebakaran yang memusnahkan rumah seorang ibu tunggal, Hayati Md Zin, 60, di Bandar Puteri Jaya, awal pagi semalam


Menurutnya, dia baru beberapa hari mengeluarkan wang hasil berniaga berjumlah RM25,000 untuk menjelaskan urusan pembayaran bagi menunaikan umrah namun terpaksa menerima hakikat apabila semua wang terbabit dan barang kemasnya hangus.


“Saya bercadang menunaikan umrah Disember depan namun reda dengan ujian diberikan Tuhan dan bersyukur kerana masih bernyawa,” katanya.


Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan biliknya dan mujur jiran yang prihatin sudi menumpangkan dia dan anak untuk menumpang buat sementara sebelum mereka mencari rumah sewa.


“Bagaimanapun, ketika tidur di rumah jiran saya dikejutkan sekali lagi dengan kebakaran ketiga awal pagi semalam yang juga berlaku di tingkat atas rumah dan kali ini ia memusnahkan keseluruhan tingkat atas yang mempunyai tiga bilik.


  “Saya hanya mampu berserah dan menganggap semua ini adalah dugaan dan beterima kasih kepada semua jiran yang prihatin dan menghulurkan bantuan termasuk pakaian kepada kami,” katanya.