Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Pesara Pejabat Tanah Dan Daerah Ditahan SPRM, Salah Guna Jawatan Untuk Dapatkan Rasuah

Pesara Pejabat Tanah Dan Daerah Ditahan SPRM, Salah Guna Jawatan Untuk Dapatkan Rasuah

oleh admin

ALOR SETAR, 21 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pesara kerajaan kerana disyaki menyalah gunakan jawatannya bagi mendapatkan rasuah pada 2005.

Menurut sumber, individu lelaki berusia 69 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri di sini, kira-kira pukul 3 petang semalam.

Katanya, individu berkenaan yang pernah bertugas di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah dalam negeri ini, disyaki menyalah gunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuh Raya Langkawi.

“Salah guna jawatan itu disyaki dilakukannya bagi mendapatkan suapan berupa sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya sendiri ketika masih dalam perkhidmatan.

“Suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin atas faktor umur dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya memandangkan kes tersebut masih disiasat.

“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com