Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Mayat warga emas ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan

Mayat warga emas ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan

oleh admin

ALOR SETAR, 21 Sept – Mayat seorang warga emas lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan di Jalan Belakang Loji Air SADA, Durian Burung dekat Padang Terap, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata mayat Abdullah Ariffen, 68, ditemui selepas polis menerima laporan dari orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.46 malam.

“Mangsa yang memakai baju berwarna hijau gelap lengan panjang dan seluar panjang berwarna biru gelap itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas gergaji enjin dihadapan sebuah kenderaan.

“Terdapat sebatang pokok telah tumbang melintang di atas jalan berdekatan dengan mayat mangsa. Pemeriksaan ke atas mayat mangsa tiada sebarang kecederaan ditemui,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil temubual bersama isteri mangsa mendapati mangsa mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis serta perlu mengambil insulin setiap hari.

“Siasatan tidak menjumpai sebarang perkara yang mencurigakan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Siasatan masih diteruskan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com