Saturday, 27, April, 2024
Utama Umum Inspektor ditahan SPRM, disyaki terima rasuah RM3,000

Inspektor ditahan SPRM, disyaki terima rasuah RM3,000

oleh admin

ALOR SETAR, 18 Sept. – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM3,000, semalam.

Sumber memaklumkan, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah restoran, dekat sini kira-kira pukul 8.40 malam tadi.

Inspektor polis (kiri) yang ditahan SPRM semalam, direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM3,000.

“Wang berjumlah RM3,000 itu dipercayai diterima suspek sebagai balasan untuk menyelesaikan kes seorang individu yang disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Difahamkan suspek merupakan seorang pegawai polis yang bertugas dalam salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com