Dua maut ‘Test’ enjin motosikal di lebuhraya

98

Sungai Petani: Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan (LRUS) arah selatan awal pagi, hari ini.

Kemalangan pada 2.35 pagi membabitkan tujuh motosikal itu menyebabkan dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 22 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, ketika kejadian sekumpulan tujuh lelaki yang menunggang enam motosikal Yamaha Y15 dan sebuah Honda EX5 sedang menduga kelajuan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan mendapati tujuh motosikal berkenaan ditunggang secara beriringan dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

“Akibatnya, dua daripada penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital SUltan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua penunggang motosikal berusia 15 hingga 22 tahun dan tiga daripada mereka termasuk seorang yang meninggal dunia tidak mempunyai lesen.

“Lima lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki, tangan serta kepala turut dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.