Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Dua Lelaki Ditahan Polis Beberapa Jam Selepas Melarikan Barang Kemas

Dua Lelaki Ditahan Polis Beberapa Jam Selepas Melarikan Barang Kemas

oleh Ammar Haziq
Dua lelaki tersebut telah datang ke sebuah kedai emas di kawasan Tandop, Alor Setar dan berpura-pura mahu membeli barang kemas di kedai berkenaan.

ALOR SETAR, 16 Sept – Dua lelaki berjaya ditahan beberapa jam selepas melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dua lelaki yang berumur 24 tahun itu ditahan oleh Pasukan Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 8.00 malam tadi.

“Pada pukul 11.30 pagi, kedua-dua suspek telah datang ke sebuah kedai emas di kawasan Tandop dan berpura-pura mahu membeli barang kemas di kedai berkenaan.

“Suspek kemudiaannya terus melarikan diri bersama tiga utas gelang emas yang ditunjukkan oleh pekerja kedai dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton X50,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara barang yang berjaya dirampas daripada dua lelaki tersebut.

Beliau berkata polis yang menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.30 tengah hari telah menggerakkan pasukan Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah terdiri daripada dua pegawai dan sepuluh anggota bagi mengesan kedua-dua suspek.

“Hasil risikan yang dijalankan, kedua-dua suspek berjaya ditangkap di kawasan Taman Perumahan Perwaja dekat Gurun. Polis turut merampas dua daripada gelang emas yang dilarikan bersama sejumlah wang tunai.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan tahanan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaaan,” katanya. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com