Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional KPLB sudah adakah perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkaitan syor untuk bantu pekebun kecil getah

KPLB sudah adakah perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkaitan syor untuk bantu pekebun kecil getah

oleh admin

PADANG TERAP, 15 September – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, bagi syor membela nasib penoreh getah yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perbincangan seterusnya akan diadakan pula dengan Kementerian Kewangan, minggu depan.

“Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.

“Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan dari kerajaan buat mereka.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di sini, hari ini.

Isnin lalu, Mahdzir berkata dua syor akan dikemukakan pihak kementeriannya kepada Perdana Menteri untuk membela nasib penoreh getah di negara ini.

Syor pertama adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Manakala syor kedua adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 ketika ini kepada RM3.

Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.

Ditanya mengenai jumlah pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memohon untuk menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga, Mahdzir berkata terdapat permohonan sedemikian sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

“Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi. Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com