Tuesday, 23, April, 2024
Utama Nasional Kenaikan OPR bakal pengaruhi golongan M40 beli rumah

Kenaikan OPR bakal pengaruhi golongan M40 beli rumah

oleh Ammar Haziq
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis Yeoh Su Guan.

ALOR SETAR, 15 Sept – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.50 peratus dilihat bakal mempengaruhi orang ramai untuk membeli rumah terutamanya kepada golongan M40 yang kebanyakannya mempunyai komitmen pinjaman bank.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis Yeoh Su Guan berkata ketika ini ada antara golongan M40 dan B40 yang sedang menunggu pengumuman Bajet 2023 sebelum membuat sebarang pembelian hartanah.

“Peningkatan OPR itu memang memberi kesan kepada pemaju hartanah kerana apabila kadar ansuran meningkat, ia akan menyebabkan pembeli teragak-agak untuk membeli rumah terutamanya golongan M40 yang mempunyai komitmen lain yang lebih tinggi.

“Pembeli masih menunggu Bajet 2023 di mana mereka berharap kerajaan dapat menyediakan sesuatu buat pembeli mahupun pemaju bagi membantu mengurangkan kesan OPR itu berkaitan pemilikan rumah,” katanya.

Terdahulu, beliau telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara REHDA Kedah/Perlis bersama anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR dinaikkan sebanyak 2.50 peratus dan ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa masalah antaranya kekurangan tenaga kerja dan kos bahan binaan yang tinggi turut menyukarkan pemaju hartanah untuk memulihkan sektor hartanah dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com