Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Lelaki Indonesia direman bantu siasatan langgar lari pegawai imigresen

Lelaki Indonesia direman bantu siasatan langgar lari pegawai imigresen

oleh Ammar Haziq
Suspek direman empat hari untuk membantu siasatan.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 27 tahun direman selama empat hari bermula hari ini kerana dipercayai merupakan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kelmarin.

Suspek yang memakai baju kelabu dan seluar putih tiba di pekarangan Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi anggota polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman tersebut yang dikeluarkan Majistret, Nor Fazlina Musa.

Dalam kejadian di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara kelmarin, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Proton Wira.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu turut mengakibatkan rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan.

Kedua-dua mereka dipercayai merupakan pegawai imigresen yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Kelibat suspek berjaya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta tersebut adalah milik abang iparnya.

Zaidy menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com