Thursday, 28, March, 2024
Utama Viral Lebih 400 penduduk naik helikopter secara percuma

Lebih 400 penduduk naik helikopter secara percuma

oleh Ammar Haziq
Muhammad Azlan (tengah) bersama penduduk kampung.

Lebih 400 penduduk kampung di Besut, Terengganu diberi peluang  menaiki helikopter secara percuma oleh jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin.

Menurutnya, beliau gembira melihat keceriaan penduduk yang dapat melihat keindahan daerah Besut dari udara dengan menaiki helikopter berwarna merah itu.

“Ini bukan kali pertama saya beri peluang kepada penduduk untuk menaiki helikopter secara percuma dan pada hari ini lebih 400 orang mendapat peluang tersebut.

“Saya dulu juga mempunyai perasaan yang sama untuk merasai pengalaman menaiki helikopter dan sekarang sudah mampu untuk merasai. Hari ini saya cuma mahu berkongsi perasaan gembira itu dengan penduduk kampung sahaja,” katanya kepada Kedah Gazette.

Jelasnya, tawaran menaiki helikopter secara percuma dilanjutkan kepada dua hari selepas mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Mohammad Azlan yang berasal dari Besut juga berkata, beliau tidak menyangka ada penduduk yang menangis kegembiraan dengan peluang yang diberikan itu.

“20 tahun lalu, keluarga saya adalah yang paling miskin di daerah Besut. Saya juga dulu ada impian untuk menaiki helikopter. Apabila saya sudah mampu, saya mahu berkongsi dengan penduduk kampung pula,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, beliau juga mahu menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi dan inspirasi terutamanya kepada anak muda agar terus berusaha dan sentiasa memasang impian untuk menjadi seorang yang berjaya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com