Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Kerajaan Kedah, SADA digesa atasi ketiadaan air paip di Kampung Padang Durian

Kerajaan Kedah, SADA digesa atasi ketiadaan air paip di Kampung Padang Durian

oleh Ammar Haziq
Seorang penduduk menunjukkan telaga yang masih digunakan sebagai sumber air utama mereka di Kampung Padang Durian, pendang

PENDANG, 8 Ogos – Kerajaan negeri Kedah bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) digesa agar segera menyiasat dan mengamil tindakan segera bagi mengatasi masalah ketiadaan air paip yang dihadapi enam keluarga di Kampung Padang Durian, dekat sini.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kesemua keluarga itu sejak sekian lama terpaksa menggunakan air telaga yang kotor dan berkelodak.

Tinjauan dilakukan pihaknya mendapati, air telaga digunakan enam keluarga tersebut keruh dan berwarna kuning malah menjadi lebih serius ketika hujan hingga menjadikannya berwarna seperti teh akibat dicemari sisa lumpur.

“CAP percaya jika masalah ini tidak diatasi, ia akan terus membelenggu kehidupan penduduk. Kita bimbang sekiranya masalah ini turut mengancam kesihatan penduduk terlibat, terutamanya akibat sisa racun dari kawasan sawah berhampiran yang mungkin menyerap masuk ke dalam telaga.

“Oleh itu masalah ini perlu ditangani segera oleh kerajaan negeri Kedah dan SADA sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu seorang penduduk, Siti Mariam Omar, 36, berkata, pakaian sekolah anaknya yang berwarna putih juga berubah warna setelah dibasuh menggunakan air telaga tersebut.

“Untuk makan dan minum, kami terpaksa menakung air telaga itu terlebih dulu sebelum menggunakannya agar sisa kotoran di dalamnya mendap,” katanya.

Beliau merayu supaya masalah tersebut dapat diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana penduduk kampung lain di kawasan berhampiran sudah lama menikmati kemudahan air bersih untuk kegunaan harian.

Seorang lagi penduduk di situ, Ridzuan Morad, 53, mendakwa, dia terpaksa membelanjakan lebih RM3,000 setelah tujuh buah pam air yang dibeli bagi mengepam air telaga di rumahnya mengalami kerosakan sebelum ini.

“Masalah ini pernah diadukan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan diambil,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com