Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Dituduh membunuh selepas mangsa tetak meninggal

Dituduh membunuh selepas mangsa tetak meninggal

oleh admin

SUNGAI PETANI 8 Ogos – Jika semalam dia mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal keselamatan, hari ini R. Subramaniam, 41, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan membunuh.

Lelaki yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini setelah mangsanya, Ismail Ahmad, 58, yang ditetak dengan pedang pada 4 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini, kira-kira pukul 6 petang semalam.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dengan tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati jika didapati bersalah.

Tiada pengakuan direkodkan dengan tertuduh hanya mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nor Fazlina Musa.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan dekat sini pada 4 April lalu.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya, S. Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menanti laporan bedah siasat dan kimia.

Menerusi laporan media sebelum ini, mangsa dikatakan ditetak hanya kerana menegur seorang individu yang dikatakan menunggang motosikal secara berbahaya di lokasi tapak projek tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com