Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri 16 jam berpaut pada bumbung bot karam

16 jam berpaut pada bumbung bot karam

oleh Ammar Haziq
Seorang mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha kerana terlalu letih.

LANGKAWI, 7 Ogos – Enam pemancing berdepan antara ujian terbesar dalam hidup mereka apabila terapung selama hampir 16 jam di laut setelah bot dinaiki mereka karam di kedudukan 8.2 batu nautika, tenggara Pulau Timun kira-kira pukul 6 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua pemancing itu yang berusia antara 24 hingga 70 tahun terpaksa bertahan di laut semalaman sebelum diselamatkan nelayan yang terserempak dengan mereka, pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari seorang nelayan yang membuat laporan kira-kira pukul 8.55 pagi tadi.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kemudiannya mengatur gerak bot Perkasa 1228 ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi didapati kesemua mereka telah diselamatkan ooleh bot nelayan tempatan.

“Keenam-enam mangsa kemudiannya dipindahkan ke bot Perkasa 1228 untuk dibawa pulang ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi,” katanya.

Nelayan yang berjaya diselamatkan.

Tambahnya, bot dinaiki pemancing-pemancing itu dipercayai karam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke jeti di Kuala Perlis selepas selesai memancing.

“Kira-kira pukul 6 petang semalam ketika keadaan cuaca buruk, bot itu dikatakan telah dimasuki air hingga menyebabkannya karam.

“Kesemua pemancing itu bagaimanapun sempat memakai jaket keselamatan dan ketika diselamatkan, masing-masing berpaut pada bumbung bot yang timbul setelah keseluruhan badan bot tenggelam,” katanya.

Beliau memaklumkan, seorang daripada mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Malihat (HSM) di Langkawi akibat terlalu letih.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com