Friday, 29, March, 2024
Utama Sukan Di sebalik ujian, Al Mardi tetap mahu bersama Kenari

Di sebalik ujian, Al Mardi tetap mahu bersama Kenari

oleh Ammar Haziq
Mahmoud Al Mardi

ALOR SETAR 4 Ogos – Meskipun sedih dengan keadaan bapanya yang kini tenat di Jordan, pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA), Mahmoud al-Mardi jelas memiliki hati dan jiwa untuk terus beraksi bersama Sang Kenari apabila tetap menyatakan janji untuk terbang ke Bali sekiranya keadaan mengizinkan, bagi membantu pasukan berdepan PSM Makassar pada saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC, Selasa depan.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, malam tadi Mahmoud yang juga pemain kebangsaan Jordan datang bertemunya dalam keadaan menangis meminta pelepasan untuk pulang menziarah bapanya yang tenat.

“Dalam keadaan itu, sudah tentulah kita memberi pelepasan. Bagi kami, perkara itu perlu diberi keutamaan.

“Kita tak tahu bagaimana keadaan bapanya dan hanya mendoakan yang terbaik buat bapanya. Namun Mahmoud berjanji kalau semuanya ‘okey’, dia akan cuba datang ke Bali untuk bersama pasukan bagi menentang PSM Makassar katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) sebelum berlepas bersama anak-anak buahnya ke Kuala Lumpur, petang ini.

Aidil Sharin Sahak bergambar bersama penyokong KDA FC, Jusnaidi Johari, 45, yang hadir memberi sokongan kepada pasukan itu di LTSAH, hari ini.

Difahamkan Aidil bersama pasukan itu akan terbang ke Bali esok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika ini KDA FC sudah pun kehilangan berapa pemain antaranya Dechi Marcell, Marc Vales dan Amirul Azhan akibat kecederaan.

Sementara itu Aidil menzahirkan harapan agar para pemainnya tidak mensia-siakan setiap peluang diperolehi untuk melakukan jaringan.

Menurutnya, KDA FC memiliki peluang untuk mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan bersandarkan statistik perlawanan sebelum ini.

“Dalam perlawanan dilalui termasuk ketika menentang Sri Pahang FC sebelum ini, statistik jelas menunjukkan betapa kita memiliki ‘ball possession lebih baik. Kita ada peluang menjaringkan gol tetapi gagal berbuat demikian.

“Jika kita tak ambil peluang untuk jaringkan gol, tekanan akan hadir ke bahagian belakang. Kalau kita tak ambil peluang, memang kita tak akan menang kerana bukannya setiap minit kita mendapat ruang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Begitu pun katanya, dia tetap menaruh kepercayaan kepada anak-anak buahnya bagi menghadapi perlawanan itu.

“Memang ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi kita kini berada di satu pertandingan yang tahapnya lebih tinggi. Insya Allah para pemain faham tentang perkara itu dan akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan,” katanya. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com