Tuesday, 23, April, 2024
Utama Negeri Tiada kolam takungan air untuk ladang Musang King di Inas pecah – Sanusi

Tiada kolam takungan air untuk ladang Musang King di Inas pecah – Sanusi

oleh admin

AIDID ILHAM

BALING, 3 OGOS – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada satu pun laporan diterimanya menyatakan terdapat kolam takungan air untuk ladang Musang King yang pecah dan menjadi punca kepada kejadian aliran puing serta banjir di Kupang, Baling.

Menurutnya, laporan dikemukakan pakar kepada agensi diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) turut menyatakan perkara sama.

“Kalau ikut laporan dikemukakan pakar kepada agensi diketuai KeTSA, kejadian itu bukan disebabkan Musang King. Kolam Musang King juga tidak pecah.

“Jadi dakwaan itu (Musang King punca aliran puing) hanya usikan dari netizen dan orang ramai yang mengusik dengan fakta tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi, Mukim Kupang di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi, Mukim Kupang di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Baling, hari ini.

Menjawab soalan wartawan mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen sebelum ini yang pernah menyatakan terdapat satu kolam takungan pecah, Muhammad Sanusi berkata perkara itu perlu ditanyakan kepada menteri itu sendiri.

“Itu menteri yang cakap, bukan saya. Jadi kena tanya menteri itu.

“Ada penggunaan istilah ‘kemungkinan’ pada awal ayat menteri tetapi tak ada siapa peduli tentang perkara itu. Kebanyakannya ambil kenyataan selepas perkataan ‘kemungkinan’ itu,” katanya.  

Mengulas mengenai majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata sebanyak 12 rumah akan dibina di lokasi berkenaan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Kynetic Land.

“Rumah ini adalah hasil sumbangan kerajaan negeri serta beberapa pihak lain yang menyumbang sebelum ini. Malah Kynetic Land juga hanya membina rumah ini pada harga modal tanpa mengambil keuntungan.

“Kita juga mendapat kerjasama dari syarikat korporat antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkaitan pembangunan fasiliti elektrik dan air,” katanya. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com