Tuesday, 23, April, 2024
Utama Negeri Langgar syarat sah lesen, bot nelayan ditahan

Langgar syarat sah lesen, bot nelayan ditahan

oleh Ammar Haziq
Bot dan 150 kg hasil tangkapan dibawa ke Jeti Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan susulan.

LANGKAWI, 2 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Puchong Langkawi, lewat malam semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Saliza binti Ahmad berkata, bot nelayan itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Langkawi, semalam.

Bot nelayan yang bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan pada jam 10.45 malam ketika menunda dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama empat awak-awak warga Thailand dan dua daripadanya adalah warga tempatan.

Bot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Bot, tekong, kru termasuk hasil tangkapan dianggarkan seberat 150 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com