Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri 134 pelajar B40 UUM terima komputer riba

134 pelajar B40 UUM terima komputer riba

oleh Ammar Haziq
Haim Hilman (tengah) bersama pelajar UUM B40 yang menerima komputer riba.

SINTOK, 27 JUN – Seramai 134 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari golongan B40 menerima komputer riba sumbangan FWD Takaful Berhad.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Ketua Pegawai Strategi dan Saluran Digital FWD Takaful Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi pada Majlis Penyerahan Komputer Riba FWD Takaful Berhad Kepada Pelajar UUM di Dewan Sri Angsana EDC-UUM, hari ini.

Sumbangan dengan nilai keseluruhan hampir RM400,000 itu adalah hasil kerjasama yang terjalin antara Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM dengan FWD Takaful Berhad yang diharapkan bakal memberi manfaat kepada pelajar B40 UUM dari pelbagai pusat pengajian.

 Selain menerima komputer riba, kesemua pelajar berkenaan yang merupakan peserta FWD Kasih iaitu produk mikrotakaful mampu milik yang ditawarkan oleh FWD Takaful Berhad turut menerima perlindungan manfaat takaful sehingga RM40,000.

Menerusi kerjasama ini, pelajar telah didedahkan tentang kepentingan pengurusan risiko dan perancangan takaful.

Program ini juga secara tidak langsung menyokong visi FWD Takaful dalam usaha merubah pandangan awam mengenai takaful.

 Hubungan kerjasama antara UUM dan FWD Takaful telah pun dibina sejak tahun 2019 melalui penyelidikan, pembangunan pelajar dan projek komuniti.

 Program yang dijalankan kali ini merupakan perintis ke arah kerjasama erat antara UUM dan pihak industri yang bersifat ‘win-win situation’ di mana pelajar akan memperoleh manfaat dari tajaan yang diberi, manakala pihak industri berpeluang membina jaringan dengan UUM dalam memperkasakan sistem pendidikan di universiti dan memperkukuhkan hubungan dalam pembangunan pelajar dan komuniti.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com